Di sekolah aku , ada 4 rumah sukan semuanya - Wira (Biru), Saga (Merah), Putra (Kuning) dan Satria (Hijau) (berdasarkan kereta nasional kah?)
Menjadi tradisi sekolah aku untuk melantik guru-guru baru menjadi Ketua Rumah Sukan. Jadi tahun ni semuanya cikgu-cikgu baru yang memegang tampuk pemerintahan rumah sukan termasuklah aku. Pening juga kepala nak menguruskan rumah sukan. Antara perkara yang perlu diuruskan ialah latihan sukan, pemilihan peserta, perbarisan rumah, dan lain-lain.
Sukan sekolah bermula dengan latihan rumah sukan, sukan tara, merentas desa, acara sukan akhir dan akhir sekali adalah kejohanan sukan sekolah. Sekolah aku merancang mengadakan kejohanan pada bulan Februari, sebelum pekeliling baru dikeluarkan. Akhirnya sukan sekolah dibuat pada bulan Mei.
Cabaran pertama adalah untuk memastikan pelajar datang ke latihan sukan yang dilakukan pada waktu petang. Kehadiran memang tidak mencapai 100%. Pelajar menengah atas terutamanya memang memandang enteng latihan-latihan ni walaupun pelbagai amaran dan 'ugutan' diberikan. Antara amaran ialah Ketua Rumah sukan tidak akan tandatangan buku ko-kurikulum dan 'ugutan' akan rotan jika tidak hadir. Hemm.. budak-budak ni memang tak makan saman..
Cabaran kedua adalah memastikan pelajar datang untuk sukan tara. Sukan tara adalah penting kerana semua pelajar boleh menyumbangkan mata untuk rumah sukan masing-masing jika melepasi tahap kelayakan untuk setiap acara. Kedatangan pelajar adalah penting kerana jika semakin banyak pelajar datang, makin cerah peluang rumah tu nak mendapat mata.
Cabaran ketiga ialah mendapatkan mata semasa merentas desa. Mata merentas desa hanya diberikan kepada 10 perserta pertama untuk setiap kategori. Biasanya hanya pelajar yang boleh berlari jarak jauh yang mengungguli acara ni. Pelajar lain cuma sekadar berlari anak atau berjalan hingga ke garisan penamat. Mata untuk rumah turut disumbangkan melalui acara ini.
Pada waktu ni, aku dah mula sibuk untuk memastikan segala nombor peserta (ditulis dengan marker di atas kain yang digunting ) telah dibuat. Biasanya nombor aku berikan pada hari mereka bertanding kerana jika tidak , mesti pelajar ni lupa nak bawak semasa acara mereka.
Cabaran keempat ialah memilih peserta yang sesuai dan berkelayakan untuk mewakili rumah. Pemilihan ini boleh dibuat dengan melihat keputusan acara tahun sebelumnya, memilih pelajar yang telah mewakili pada tahun sebelum ini dan melihat kepada sukan tara dan acara merentas desa yang telah dijalankan.
Aku juga mengeluarkan senarai acara bagi setiap peseta sebelum acara-acara berlangsung kerana biasanya tidak ingat apa acara yang mereka sertai.
Cabaran kelima ialah mengutip duit rumah daripada pelajar. Kebanyakan pelajar amat liat untuk membayar. Bayaran duit ini adalah digunakan untuk persiapan maskot, perbarisan dan juga makanan para pelajar di hari kejohanan.
Cabaran keenam ialah menyediakan pasukan perbarisan rumah sukan. Kerjasama dengan guru-guru lain amatlah diperlukan terutamanya guru yang kreatif. Adalah menjadi kebiasaan sekiranya tiap ketua rumah sukan mempunyai tempat rahsianya yang tersendiri untuk menyiapkan kelengkapan perbarisan dan maskot ni. Selain itu, latihan untuk pasukan perbarisan juga perlu diadakan untuk melatih mereka dengan segala props yang ada dan aksi-aksi yang dikehendaki.
Cabaran ketujuh adalah semasa kejohanan sukan tu sendiri. Aku amat bertuah kerana sekolah kami saban tahun mengadakan kejohanan di stadium. jadi tak perlu nak hias khemah. Semasa kejohanan dan juga semasa acara berlangsung, ketua rumah menjadi orang yang paling sibuk kerana terpaksa mengelola peserta = ke hulu ke hilir mencari peserta , memaklumkan hakim jika peserta turut menyertai acara lain dan juga menyediakan nombor peserta sekali lagi jika mereka tak bawa. Semasa kejohanan juga, ketua rumah perlu menyiapkan pasukan perbarisan di samping memastikan makanan dan minuman yang disediakan mencukupi dan dituntut oleh pelajar.
Apapun, menjadi ketua rumah sukan pastinya meninggalkan kenangan yang manis. Di samping itu, aku juga turut mengenali cikgu mana yang ringan tulang membantu dan ada juga yang buat tak tahu saja walaupun mereka di rumah sukan yang sama. Selain itu, banyak pengalaman dapat dikutip serta dapat mendekarkan diri dengan pelajar dan acara sukan itu sendiri.
Alhamdulillah, segalanya telah selesai...
No comments:
Post a Comment