NILAM – Nadi Ilmu Amalan Membaca. Namanya indah tapi harapnya jangan indah khabar dari rupa.
Tahun ini saya baru dilantik menjadi GPM. Banyak yang perlu dipelajari dalam masa singkat. Tapi disebabkan benyak perkara lain yang meladeni pemikiran dan perancangan, NILAM saya letakkan di tepi dahulu. Sekarang sudah Julai baru menyedari kepentingan NILAM. Alamak, mesyuarat GPM yang lalu, saya terkulat memadang komputer, cuba merendah pandangan ( dibantu semulajadi rendah, hehe.. ) apabila ditanya status NILAM di sekolah. GPM lain dengan bangga mengeluarkan laporan setiap kelas yang dibinding cantik, tebal dan lengkap dengan analisa dan sebagainya. Data NILAM saya tidak sampai suku kertas A4. Dibekalkan dengan 5 nama pelajar yang menghantar buku NILAM tahun 2008.
Balik dari mesyuarat, terus menumpukan NILAM. Setiap minggu di perhimpunan, ada saja pengumuman untuk pelajar tentang NILAM. Malah telah meminta pertolongan PK Pentadbiran menerangkan secara ringkas kepada semua guru bahasa agar NILAM kembali mendapat perhatian.
NILAM di sekolah tidak berjalan. Tahun pertama mengajar Bahasa Inggeris dulu, tidak dimaklumkan perlu membawa pelajar ke PSS untuk aktiviti NILAM. Tanya pada pelajar Tingkatan 2, buku NILAM pun tak ada walaupun akhirnya mereka mengaku pernah membeli di Tingkatan 1. Itu 2 punca utama NILAM kurang bercahaya. Faktor ketiga sikap pelajar sendiri. Guru membawa pelajar ke PSS untuk menulis laporan NILAM, mereka hanya sedap berehat-rehat di bilik berhawa dingin.
Jadi bagaimana untuk melaksanakan NILAM?
Langkah pertama saya ambil, mewajibkan semua pelajar mempunyai kad ahli. Buku setebal 15 muka surat bolehlah dibaca sekali lalu untuk menulis laporan, kalau buku lebih tebal dan aras lebih tinggi bagaimana? Jadi dengan adanya kad ahli, semua pelajar bolehlah meminjam buku dan dengan harapan menulislah laporan NILAM.
Langkah kedua memfotostat buku laporan NILAM. Guru Kanan Bahasa sekolah saya memberitahu sudah 2 tahun buku NILAM tidak dihantar walaupun saban tahun menghantar permohonan. Lantas, AJK Kerja bersetuju untuk memfotostat buku NILAM. Saya bertanyakan GPM lain, mereka mengambil tindakan serupa. Setakat ini buku untuk semua pelajar Tingkatan 1 dan 2 telah diedarkan. Fasa seterusnya Tingkatan 4. Tingkatan 3 boleh mula NILAM selepas PMR. Tingkatan 5 tak dapat diselamatkan.
Langkah ketiga membuat jadual untuk kelas ke PSS dan membuat NILAM. Setiap minggu berselang – seli guru B. Malaysia dan B. Inggeris untuk ke PSS. Namun, semua pelajar diminta membawa buku NILAM setiap hari. Kelas mana yang ketiadaan cikgu dan diganti oleh cikgu lain digalakkan membawa pelajar ke PSS. PSS sentiasa penuh dan ramai guru menelefon saya membooking PSS. Natijahnya, buku di rak setiap hari tunggang langgang bagai dilanggar garuda dan satu meja telah 3 kali patah kaki.
Langkah keempat merupakan cadangan pengetua di majlis perhimpunan minggu ini. Beliau ingin melaksanakan semula pekeliling yang meminta pihak sekolah mengecop jumlah bacaan NILAM di sijil berhenti sekolah. Dada saya terasa lapang dan saya merasa usaha dihargai. Memang niat saya ingin meminta perkara ini kepada beliau, bila pihak pentadbir tampak memberi sokongan maka perancangan NILAM pasti lebih diterima ramai. Kelmarin saya turut meminta kebenaran beliau supaya jumlah bacaan NILAM turut dimuatkan di slip peperiksaan hujung tahun. Rasionalnya supaya ibu bapa turut maklum jumlah bacaan anak mereka. Malah secara tak langsung pelajar juga ‘terpaksa’ menulis NILAM jika tak mahu jumlah bacaan sifar. Beliau bersetuju.
Langkah kelima ialah memulakan pengumpulan data NILAM tahun-tahun lepas. Ini yang susah, ada pelajar mendakwa mereka membuat laporan tetapi bila ditanya mana buktinya hanya tersengih. Target saya, usai bulan Julai ini jumlah bacaan yang sedia ada telah dimasukkan ke dalam sistem. Bulan September nanti baru akan dikutip untuk data NILAM tahun ini.
Langkah keenam – serentak dengan sambutan Bulan Galakan Membaca, hadiah akan diberikan kepada mana-mana pelajar yang telah mempunyai jumlah bacaan NILAM sebelum ini. Harapnya pelajar lain turut sama berminat dan terlibat secara aktif selepas ini.
Langkah seterusnya sudah ada. Namun belum dilaksanakan lagi. InsyaAllah, nanti saya sambung kembali.
Ini merupakan sekadar catatan pengalaman saya yang pertama kali memegang jawatan GPM. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Saya hanya berkongsi pengalaman. Jerih saya tiap hari melayari internet mencari catatan pengalaman GPM baru untuk dijadikan sebagai panduan dan berkongsi idea.
No comments:
Post a Comment