Friday, December 18, 2009

Hari Pertama di Sekolah untuk Guru Baru


Tahun ni merupakan tahun kedua aku mengajar. Tapi aku dah bertugas di dua buah sekolah. Posting pertama di Sarawak dan tahun ni aku minta balik ke Kedah. Aku nak berkongsi tentang apa yang sepatutnya dibuat pada hari pertama di sekolah jika kita guru baru posting mahupun jika kita baru bertukar sekolah.

Semestinya kita akan gementar untuk meneroka persekitaran baru, tapi tak perlu bimbang sebab biasanya pentadbir, staf, cikgu-cikgu lain akan mengalu-alukan kedatangan kita. Jadi untuk memudahkan kita menyesuaikan diri, apa yang perlu kita lakukan adalah menjadi diri kita sendiri di samping menghormati orang lain.

Antara yang boleh kita lakukan ialah:

  1. Berjumpa dengan Pengetua/Pen. Kanan terlebih dahulu untuk melaporkan diri. Ini adalah penting supaya sekolah boleh mengesahkan penempatan kita di PPD dan JPN.
  2. Di samping itu juga, adalah penting untuk kita menceritakan kepada pentadbir sekolah mengenai pengkhususan subjek serta kebolehan / kemahiran kita supaya dapat membantu pihak pentadbir memberikan kita subjek /tugas /guru penasihat ko-kurikulum yang sesuai. Jangan terkejut jika kita mendapat subjek yang bukan pengkhususan kita kerana pembahagian sujek bergantung kepada keperluan sekolah itu sendiri.
  3. Memperkenalkan diri dengan semua pentadbir / guru / staf / pekerja. Jadilah seorang yang ramah tamah dan senyum selalu. Pakailah tanda nama supaya orang senang mengingati nama kita.
  4. Adalah penting untuk meminta tolong sesiapa menunjukkan tempat duduk kita di dalam bilik guru. Sebabnya kita tak tahu mana tempat yang kosong kan.
  5. Beramah mesralah dengan semua orang. Walaupun kepada pekerja lain seperti pembantu am di pejabat mahupun di makmal, mak cik pencuci, pekerja kantin dan tukang kebun. ini kerana pastinya ada suatu hari nanti kita akan memerlukan bantuan mereka.
Itulah antara pesanan yang boleh digunakan. Kepada guru baru selamat mula bertugas. Kepada guru lama selamat kembali bertugas. Adios..

1 comment: